14 tahun bergelar Ummi

Bismillah...

"Been there, done that", kata-kata Dr Harlina Halizah yang saya panggil Cik Har, pada saya semasa saya sibuk mengendong Ulya (ketika itu baru berumur setahun lebih) ke sana ke mari dalam program Wanita JIM. Fast forward, anak yang saya kendong ke program kini dah berusia 12 tahun 4 bulan (baca: tahun ini 13 tahun).


Melalui detik waktu sebagai ibu adalah antara nikmat terindah dalam hidup seorang wanita. Apa lagi terasa bertuahnya salah satu organ wanita dinamakan atas salah satu nama Allah Al-Husna, Ar-Rahim. Rahim yang menjadi tempat persenyawaan dua benih melalui hubungan halal, kemudian mengandungkan janin selama 40 minggu sehingga selamat dilahirkan...subhanallah, proses perubahan fisiologi itu sahaja sudah cukup menginsafkan, "Nikmat manakah yang mahu kamu dustakan?"


"Anfaal, muda lagi ni....boleh tambah 2 ke 3 orang anak ni!" ujar seorang makcik setelah mengetahui saya sudah mempunyai 5 orang anak pada usia 35 tahun. Uhuk...uhuk...bukan tentang mengandung dan melahirkan sahaja tugas tambah anak ni makcik. Merancang bilangan keluarga adalah antara proses demokrasi yang berlaku dalam sebuah keluarga. Setakat ini berapa bilangan anak dan jarak kehamilan saya dan suami bincang dengan telus. Ini topik serius bang! Sebelum kita masuk mode 'Pengurusan Krisis'.

Suara Isteri

Andai saya berada di dalam keluarga dengan budaya patriarki yang tinggi (budaya patriarki merupakan sebuah gambaran sistem di mana menempatkan laki-laki sebagai sosok otoritas utama yang sentral dalam sebuah organisasi sosial), mungkin saya sudah beranak 8 hari ini! Isteri mungkin tiada hak membuat keputusan, malah menyatakan pendapat juga dianggap berdosa.
Bagi wanita-wanita di luar sana, anda lebih tahu 'suis terbaik' untuk berbincang dengan suami secara demokratik. Tidak perlu membentak. Gunakan kuasa kelembutan untuk mempengaruhi bukan memaksa suami menerima pandangan isteri. Bersuara menyatakan pendapat juga bukan bererti kita adalah pejuang emansipasi wanita. Tetapi kerana Islam meraikan hak kebebasan bersuara. Hatta Khalifah Umar Al-Khattab juga menerima bantahan seorang wanita berkaitan nilai mahar perkahwinan. 


Speak up, voice out. Dan agak-agaklah waktu yang sesuai untuk berbincang. Bukan dalam keadaan penat dan tertekan. Sambil minum secawan kopi dengan sepotong kuih dan urutan bahu boleh membantu mewujudkan suasana perbincangan yang kondusif dan memudahkana pandangan isteri diterima.

3 Fasa Pembesaran Anak

Ok berbalik kepada tugas menjadi Ummi dalam tempoh 14 tahun (nota: Umar yang sulung akan berusia 15 tahun Disember nanti). Apa yang menarik pada ketika ini saya mempunyai anak-anak pada 3 fasa berbeza:
2 orang remaja

2 orang kanak-kanak
1 toddler

Remaja yang lelaki dan perempuan berbeza. Kanak-kanak yang lelaki dan perempuan juga berbeza. Dan setiap dari anak itu juga berbeza pada karakter dan kecenderungannya.


Syukur alhamdulillah Allah mengurniakan kami; Umar, Ulya, Abdullah Ulwan, Zulfa dan Yasmin untuk kami belajar dan terus belajar.


Menjadi Ummi bermakna;
...bersedia menyusukan bayi dengan susu ibu dalam tempoh optimum (6 bulan) dan/atau 2 tahun mengikut sunnah
...buku nota Umi dulu 'clean', tapi kini ada nota tambahan 'karya seni' berupa ular kena palu
...menunaikan solat dengan jemaah tambahan duduk di kepala ketika sujud dan Umi perlu bersujud lebih lama sebelum jemaah cilik bangkit (atau dalam keadaan lain datang penyelamat untuk mengangkatnya)
...berebut masa untuk mengajar Iqra dan menyelesaikan tilawah sendiri
...bijak mengawal emosi apabila diuji tahap kesabaran dengan 'siblings rivalry', suasana di tempat makan yang riuh meriah (air tumpah, kejap nak kicap, kejap nak sudu, kejap nak tambah lagi...bla bla...)

...mendengar satu, dua, bahkan 3 orang yang ingin bercakap serentak mengadukan perihal masing-masing. 'Cop! Cop! Ambil giliran sorang-sorang bercakap dengan Umi...'
...melayan anak yang merajuk tanpa diketahui puncanya
...bergegas ke kedai pada malam sebelum hari sekolah untuk membeli keperluan tugasan sekolah anak-anak. "Nak kena beli apa?".....'Kertas warna 3 helai' Aha...Ok!
...mengesan sesuatu yang tidak kena, apabila anak balik sekolah dijawabnya soalan sepatah-sepatah. Di meja makan, mukanya merah dan tanpa sedar soalan yang Umi tanya buat dia mengalir air mata. Oh sesuatu terjadi di sekolah rupanya...
...apabila Umi terkasar bahasa, tertinggi suara...sebab Umi pun stress, dan tunggu masa yang sesuai untuk menghulurkan tangan dan dakapan hangat tanda permohonan maaf 
...jika mode berleter tidak berkesan, kita panggil sahaja Abi selesai cerita
...memandu kereta ke sana sini dan mengetahui jadual aktiviti setiap anak berbeza-beza (tak nak lupa, catatkan program mereka dalam Google Calendar dan pastikan sync dengan Abi juga)
...berbual dengan anak remaja dan mendengar pendapatnya
...menerima kenyataan bahawa stress mana pun Umi dengan kehadiran anak-anak yang bermacam kerena, berjauhan dengan anak pun tetap teringatkan mereka
...dan banyak lagi

Walau apa pun terjadi dan seberapa lama pun tempoh saya menjadi Ummi, saya tahu ketenangan jiwa dan kerja memburu bahagia tidak mudah dikecapi jika kita berterusan membandingkan diri kita sebagai ibu dengan ibu-ibu lain di luar sana. 'Just not good enough' adalah suara dalam diri yang seharusnya memotivasikan kita untuk berusaha menjadi lebih baik, BUKAN untuk membandingkan dan berasa rendah diri lalu kecewa dengan diri sendiri.

Akhir kata, 'Keep CALM and be a Happy MOM'


Salam sayang,

Anfaal

Comments

Popular Posts